18 October 2011

Murabbi atau Selebriti


Ditulis pada 28 Januari 2009 oleh Ustaz Pahrol.

MURABI ATAU SELEBRITI?

28JAN
lilinLepas subuh tadi, sempat saya belek kembali majalah HIDAYAH dari Indonesia yang telah dibaca minggu lepas. “Penyakit para daei”, itulah tajuk yang sangat menyentuh hati saya.
Antaranya, penulis mengingatkan betapa para pendakwah kekadang terlalu sibuk mengajar hingga tidak sempat belajar. Terlalu ghairah menyampaikan hingga kurang menjadi “pendengar”. Terlalu acap ke luar diri, sudah jarang kembali ke dalam diri.
Itu akan menjadikan hatinya keras, dalam kelembutan dakwah secara lisan atau tulisannya. Menjadi akalnya dan pemikirannya tumpul justeru ilmunya seputar itu-itu juga.
Benar-benar saya terkesima. Pengalaman memberitahu bahawa “hati kecil” sentiasa mengingatkan bahawa pendakwah bukan lilin yang menerangi orang lain dengan membakar dirinya sendiri. Ilmu, kata-kata dan tulisaannya bukan komoditi niaga yang asyik dipromosi untuk mempopularkan diri. Hingga kekadang tanpa sedar, manusia ditarik bukan lagi kepada Ilahi, tetapi kepada diri sendiri.
Malang, bila pendakwah jadi “peniaga” yang menjaja bahan dakwah dan tarbiah mengikut selera massa. Dan kejayaan diukur oleh gelak getawa dan puji-puja masyarakat atas keterampilan kata dan gaya. Persis seorang selebiti! Mereka tidak lagi berdiri teguh sebagai karang di dasar lautan yang teguh bagaikan “doktor” memberi kepada ummah apa yang menyembuhkan walaupun terpaksa bergelut dengan kepahitan.
Bukan marahkan sesiapa, tetapi sekadar mengingatkan diri. Mengapa dalam arus ilmu dan maklumat, ceramah dan kuliah, masyarakat sangat kurang berubah? Mengapa jenayah semakin marak? Apakah dakwah kita sudah semakin tawar? Apakah tarbiah kita semakin hambar? Fikir-fikirkanlah. Kata yang datang dari hati… pasti jatuh ke hati. Bukan soal kecerdasan dan gaya, tetapi soal keikhlasan, hikmah dan taqwa.
Mengenangkan itu, teringat saya pada tulisan sendiri pada musim-musim yang lalu. Saya ingin berkongsi semula dengan saudara/i apa yang pernah saya luahkan dalam tulisan bertajuk… 
KAU MURABI BUKAN SELEBRITI!
Leaders are learners – pemimpin adalah individu yang sentiasa belajar. Begitu saya diingatkan berkali-kali. Malah, satu ungkapan yang sering menjadi pegangan saya ialah saat kita berhenti belajar saat itulah kita akan berhenti memimpin – when you stop learning, you stop leading. Ya, walaupun saya bukan pemimpin dalam skla yang besar tetapi saya adalah pemimpin keluarga dan setidak-tidaknya pemimpin diri sendiri. Hakikat ini mengingatkan saya kepada perbualan bersama Pak Long – orang tua kampung saya pada minggu yang lalu.
“Kau asyik mengajar sahaja, bila kau belajar?” tanya Pak Long pada satu hari.
Saya diam. Saya tahu, Pak Long bukan bertanya sebenarnya, tetapi dia mengingatkan.
“Apa yang kau selalu tulis dan cakapkan tu… betul-betul sudah kau amalkan?”
Saya bertmbah diam. Selain ayah, Pak Long adalah orang yang paling saya hormati… malah saya takuti (kadang-kadang).
Namun begitu, Pak Longlah tempat saya ‘ziarah’ apabila ada sesuatu keputusan, kemusykilan atau kecelaruan berlaku dalam episod hidup saya. Sejak saya masih di sekolah rendah, hinggalah kini Pak Long adalah ‘guru’ saya.
“Saya hanya penyampai Pak Long. Apa yang saya tulis dan cakap merupakan gugusan pengajaran yang bukan hanya diambil dari pengalaman diri saya tetapi juga orang lain. Saya juga berharap apa yang telah saya sampaikan, dapat juga saya amalkan.”
“Jangan hanya berharap, berusaha!” pintas Pak Long.
“Insya-Allah,” jawab saya pendek.
“Bagus tu. Jangan menulis ‘diri’ sendiri. Ingat pesan ni, orang yang bijaksana, menulis tentang ilmu. Orang cerdik menulis tentang peristiwa. Orang pandai menulis tentang ‘orang lain’. Hanya orang bodoh menulis tentang dirinya sendiri.”
Saya mengangguk perlahan. Dalam maknanya kata-kata Pak Long kali ini.
“Pak Long lihat ada kecenderungan sestengah penulis asyik menulis tentang dirinya. Begitu juga penceramah yang asyik bercakap tentang ‘aku’nya.”
“Tapi Pak Long, tak salah kalau pengalamannya itu dapat dikongsi oleh orang lain. Malah itu lebih ‘real’ daripada apa yang dialami orang lain.”
“Betul. Tak salah. Tetapi jangan keterlaluan.”
“Kenapa Pak Long?”
“Sebab,
kekuatan ilmu lebih ampuh daripada kekuatan peribadi. Biar pembaca atau pendengar bersandar kepada kekuatan ilmu yang diketengahkan, bukan kekuatan peribadi penulis atau penceramah itu sendiri.”
“Kenapa Pak Long?”
Pak Long merenung tajam. Dia faham kali ini saya bukan hanya menyoal tetapi mempersoalkan.
“Pak Long lihat, penulis atau pendakwah masakini tidak syumul dari segi personalitinya. Tak payahlah Pak Long huraikan lebih terperinci… muhasabahlah diri masing-masing.”
“Maksud Pak Long, golongan ini banyak kelemahan? Biasalah Pak Long. Siapa yang sempurna? Apakah hanya apabila semuanya sempurna baru kita boleh berdakwah?”
“Tidaklah begitu. Tetapi biarlah pendakwah sekurang-kurangnya ‘lebih sempurna’ sedikit daripada golongan yang diserunya.”
“Kalau tidak?”
“Masyarakat akan kecewa, apabila melihat figur-figur yang mereka kagumi malah ingin teladani… tidak seperti yang mereka harapkan.”
“Pak Long, sejak dulu kita diajar bertoleransi dalam hal-hal yang begini. Pendakwah tidak sempurna seperti ‘bahan’ dakwahnya. Begitu juga Islam, dengan umat Islam. Islam sentiasa hebat, tetapi muslim adakalanya hebat adakalanya tidak, bergantung sejauhmana mereka mengamalkan Islam itu sendiri!”
“Hujah lama,” balas Pak Long.
“Tapi masih relevan… Pak Long,” saya seakan merayu.
“Kalau hujah tu diputar-balik begini macam mana… Ya, kalau Islam sentiasa hebat tetapi umatnya belum tentu. Jadi kalau begitu, di mana letaknya keupayaan Islam dalam menjana kehebatan umatnya?”
Sahih, saya terperangkap. Seperti biasa, hujah Pak Long akan bertambah gagah, kalau disanggah. Justeru, kerana itulah saya selalu ‘melawan’. Pak Long bukan guru – kau diam, aku cakap! Tetapi dia adalah guru yang ‘demokratik’ – prinsipnya: Mari sama-sama kita cari kebenaran.
“Kau tidak pernah terbaca tulisan Dr. Yusuf Al Qaradhawi tentang kelohan seorang intelektual Barat yang baru memeluk Islam? Apa kelohannya?”
Maha suci Allah yang telah memperkenalkan aku Islam sebelum aku mengenal muslim…
“Tahu pun. Jika intelektual itu kenal muslim, mungkin dia tidak tertarikpun untuk memeluk Islam. Jadi dari segi tertib…siapa yang kita nak perkenalkan dahulu? Muslim atau Islam?”
“Islam Pak Long,” saya akur. Tunduk.
“Ya, itulah maksud Pak Long… pendakwah atau penulis, mesti mengenegahkan prinsip dakwah, Islam dan tarbiah, bukan input peribadi atau personalitinya. Bawa orang kepada Allah, bukan kepada diri, bawa orang kepada Islam, bukan kepada produk atau kumpulan. “
“Terimakasih Pak Long… selalu-selalulah ingatkan saya.”
“Ingat pesanan Pak Long ni… pendakwah adalah seorang murabbi bukan selebriti!”
(Pesanan Pak Long yang akhir itu sampai sekarang masih ‘menikam’ saya!)
RUJUKAN (Copy Paste) dari laman web USTAZ PAHROL >> http://genta-rasa.com/2009/01/28/murabi-atau-selebriti/

Politik


Bismillahirrahmanirrahim.
Jalan-jalan cari ilmu. Tiba-tiba terjumpa artikel ini. Menarik. Jom buka minda tentang politik :)
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
“Okay, kita nak pergi bercuti ke Pulau Pangkor, siapa yang nak jadi ketua?” saya bertanya kepada anak-anak.
“Abi!!!” mereka sebulat suara memilih saya.
“Baik, kalau Abi jadi ketua, semua orang kena dengar cakap Abi. Kalau Abi suruh tidur, semua kena tidur. Kalau Abi ajak balik bilik dan berhenti main air, semua kena ikut balik bilik, boleh?” saya menjelaskan makna ketua kepada pengikut.
“Boleh!” jawab Saiful Islam dan Naurah.
Sentiasa boleh. Tetapi bila sampai masanya, macam-macam pula ragam mereka.
“Kalau Abi tak ada, nak dengar cakap siapa?” saya bertanya lagi.
“Umi!” kata Naurah.
“Bagus. Dengar cakap Umi macam dengar cakap Abi, okay?” saya menambah.
“Okay,” mereka menjawab.
SUNNAH
p3190086
Ajak anak-anak bermesyuarat
Teringat saya kepada hadith Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam:
“Apabila tiga orang bermusafir bersama, hendaklah dilantik salah seorang daripada mereka menjadi ketua” [riwayat Abu Dawud, daripada Abu Said al-Khudri radhiyallaahu 'anhu]
Begitulah cara Islam mengajar dan mendidik penganutnya hidup bertertib lagi sistematik. Soal keluar bermusafir itu mungkin sekadar rutin biasa yang diulang-ulang dari semasa ke semasa. Tetapi di dalam rutin itulah diselitkan unsur ketertiban hidup lantas salah seorang harus mengambil tanggungjawab menjadi ketua.
Ketua dalam erti kita mengambil tanggungjawab terhadap kebajikan dua rakannya.
Ketua yang membantu membuat keputusan-keputusan biar sekecil mana pun persoalannya.
Ketertiban ini diterapkan bermula daripada solat berjemaah hinggalah kepada bermusafir secara berjemaah. Kehidupan di dalam solat dan di luar solat, Muslim diajar agar duduk di dalam tatacara kehidupan yang terpimpin. Ada yang memimpin, ada yang dipimpin.
Latar belakang kehidupan yang sebegini, menjadi penjelasan yang paling terang lagi rasional mengapa para sahabat radhiyallaahu ‘anhum tidak bertangguh berkumpul di Tsaqifah Bani Sa’idah untuk mencari pemimpin menggantikan kekosongan posisi itu yang berlaku akibat kewafatan Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam, biar pun jasab baginda masih belum lagi dikebumikan.
Tidak harus Muslim hidup tanpa pemimpin dan kepimpinan.
Semua ini adalah asas kepada apa yang kemudiannya dinamakan sebagai POLITIK.
Politik yang didefinisikan dengan sebagai Hiraasah al-Deen wa Siyaasah al-Dunya bihi (memelihara agama dan mengurus tadbirkan dunia dengan agama itu) di dalam kitab al-Ahkaam al-Sulthaniyyahadalah peraturan Allah kepada tamadun manusia. Kehidupan berperaturan, terpelihara di antara peranan dan hak masing-masing, adalah kehidupan yang mengangkat darjat manusia sebagai makhluk penghulu yang tinggi.
Inilah asas politik.
Mendidik manusia hidup berperaturan.
Mencegah manusia daripada kehidupan anarki.
KEGANJILAN ISLAM AKHIR ZAMAN
Namun, sama seperti dakwah, kalimah politik itu juga terjebak ke dalam pelbagai persepsi yang membingungkan. Dalam suasana kucar kacirnya isu semasa yang tidak pernah berhenti itu, sering sahaja kita terkeliru di antara politik, kepartian dan sentimen kepuakan. Perubahan kecenderungan pengundi yang beralih daripada Parti A ke Parti B bukanlah isu utama, biar pun ia menjadi sasaran terbesar massa. Apa yang lebih penting ialah sejauh mana masyarakat memahami politik dan seterusnya terus berstamina menyertai tanggungjawab Hiraasah al-Deen wa Siyaasah al-Dunya bihidan bukannya bertindak memencilkan diri daripada politik.
Apatah lagi di kalangan Muslim.
Muslim yang urusan pengebumian jasad Nabi mereka jatuh nombor dua selepas keutamaan diberikan kepada soal kepimpinan dan ketertiban hidup yang menjadi Sunnah itu.
Akan tetapi, tatkala disebut tentang solat, semua orang mendengarnya tanpa rasa terganggu.
Apabila dibicarakan tentang zakat, aman sahaja manusia berfikir mengenainya.
Tetapi jika politik disebut, semua menjadi panik.
Ibu bapa boleh tenang sahaja melihat anaknya mendungukan diri di hadapan PSP dengan koleksi A keputusan peperiksaan di keliling pinggangnya, tetapi dengan segera tersampuk dengan igauan besar jika anaknya tiba-tiba berbicara soal politik. Lembab dengan ideologi AKU TIDAK PEDULISMA dianggap cerdik, berbicara dalam bahasa kepedulian tentang persoalan Hiraasah al-Deen wa Siyaasah al-Dunya bihi dianggap sebagai kebodohan yang mengundang padah.
POLITIK SEBAHAGIAN DIRI
Politik itu seni.
Ia memerlukan kualiti pemikiran dan kebijaksanaan kepimpinan untuk menggarapnya.
Soal mahu menjadi AHLI POLITIK atau tidak adalah soal kedua. Tetapi manusia tidak boleh memencilkan diri daripada politik. Benar sekali kata Michael B. Coleman, ahli politik daripada Parti Demokrat Amerika Syarikat, You may not be interested in politics, but politics are interested in you“.
Muslim tidak mampu untuk tidak peduli kepada politik. Politik itu adalah seni mengatur kehidupan manusia, dan ia adalah salah satu juzuk terpenting dalam agamanya, Islam. Memencilkan diri daripada politik bermaksud meninggalkan cabang besar amar makruf dan nahi mungkar. Tidak mungkin tanggungjawab ini terbiar, melainkan pasti ada dosa dan fitnah yang mengiringinya.
Muslim boleh mengambil sikap non partisan sebagai satu bentuk pendirian politiknya. Mereka melaksanakan urus tadbir kehidupan manusia melalui badan-badan NGO atau pertubuhan kebajikan, mengikut kebolehan dan peluang masing-masing. Tetapi Muslim tidak boleh mengambil sikap tidak mengambil peduli kepada politik hanya kerana tidak mahu peduli kepada parti.
Justeru, membiaknya spesis Muslim yang alergik dengan politik adalah wabak yang mengundang kehancuran.
Dalam sopan mereka menjadi oportunis, dalam diam mereka menjadi kaum yang manipulatif. Semuanya gara-gara mahu aman tetapi tidak mahu menyumbang kepada keamanan. Mahu keselamatan tetapi tidak mahu melakukan apa-apa untuk memperbaiki keadaan. Lantang mengkritik polisi-polisi yang menjadi beban, tetapi terlalu malas untuk bertindak lebih daripada sekadar mengkritik. Mereka menikmati keamanan hasil penat lelah orang lain, mereka menikmati keselamatan hasil jerih payah orang lain.
SEKADAR DI PINGGIRAN
Iman manusia seperti ini adalah iman di pinggiran.
22_11
“Dan ada di antara manusia yang menyembah Allah dengan sikap dan pendirian yang tidak tetap, iaitu kalau ia beroleh kebaikan, senanglah hatinya dengan keadaan itu; dan kalau pula ia ditimpa fitnah kesusahan, berbaliklah ia semula (kepada kekufurannya). (Dengan sikapnya itu) rugilah ia akan Dunia dan Akhirat. Itulah kerugian yang terang nyata” [al-Hajj 22: 11]
Politik dan dakwah bergerak seiringan.
Keperluan kedua cabang kehidupan ini menyebabkan Nuh ‘alayhi al-Salaam dan sekalian Nabi dan Rasul mengambil jalan yang sama. Dalam dakwah mereka kepada keluarga dan komuniti terdekat, mereka juga tidak pernah meninggalkan urusan menasihati, menegur malah berkonfrontasi dengan golongan al-Mala’.
Tiada makna dakwah disempitkan pada sekadar menjaga urusan keluarga yang duduk di bawahcircle of influence kita, jika urusan golongan penguasa (al-Mala’) yang duduk di bawah circle of the influencing people itu dibiarkan sewenang-wenangnya.
Justeru, usaha melahirkan generasi yang peka dan celik politik itu penting.
Semasa anak-anak di bangku pengajian universiti, mereka harus belajar untuk faham tentang politik. Keterlibatan mereka di dalam persatuan-persatuan, bercakap dan bertindak terhadap kebajikan masyarakat kampus, kepedulian mereka terhadap apa yang berlaku di sekeliling diri, semua itu mesti didedah, dilatih dan seterusnya ditempa masuk ke dalam jiwa mereka.
Mereka perlu kepada kemahiran berpolitik untuk mentadbir syarikat mereka bekerja nanti.
Mereka perlu kepada kemahiran berpolitik untuk menguruskan jabatan tempat mereka berkerjaya nanti.
Mereka perlu kepada kemahiran berpolitik untuk  mentadbir keluarga tempat mereka berkehidupan nanti.
Politik diperlukan di semua peringkat hidup. Dan oleh kerana manfaat politik akhirnya sampai kepada sebuah keluarga, maka keluarga jugalah seharusnya menjadi tempat anak-anak diperkenalkan dengan politik, iaitu hidup berperaturan, mengenal tanggungjawab juga peranan, berlatih membuat keputusan dan hidup berpegang kepada nilai keprihatinan.
SEKUNDER KEPARTIAN
Soal kepartian, itu tidak lagi menjadi kekeliruan atau kebingungan dalam membuat pilihan, andai politik sudah dikenali dari akar, menjalar ke batang dan pucuknya di julang.
Idea politik sebagai ibadah, politik sebagai amanah, politik sebagai tanggungjawab, politik sebagai amar makruf dan nahi mungkar, pasti sahaja wadah politik yang dipilih adalah wadah politik yang beribadah, amanah, bertanggungjawab dan jauh dari koruspi dan orientasi kepentingan peribadi.
Didik sahaja anak-anak cintakan keadilan.
Didik sahaja anak-anak bencikan kezaliman.
Didik sahaja anak-anak berlumba-lumba memelihara amanah.
Didik sahaja anak-anak bekerjasama menentang kianat.
Didik sahaja anak-anak dengan kebebasan memberikan pandangan dan bersuara.
Didik sahaja anak-anak dengan keberanian menyuarakan pendapat tanpa tergadai budi pekerti semasa setuju atau sebaliknya.
Itu teras berpolitik di gelanggang massa suatu hari nanti.
p3190096
Gadis ini sangat ‘outspoken’ menegur politik di rumahnya
“Abi cakap Abi nak buat cucur pisang,” kata Naurah marahkan saya.
“Pisang dah busuk sangatlah Naurah. Tak sesuai nak dibuat makan!” saya cuba memberikan penjelasan.
“Kalau pisang dah busuk, kenapa Abi janji nak buat cucur pisang? Tak payahlah janji-janji. Tak tepati janji berdosa,” Naurah ‘menegur’ amir al-mu’minin di rumahnya.
Saya hanya mampu mengangguk. Akur bahawa semasa saya memberitahunya yang pisang buruk di atas para itu tidak boleh dimakan mentah, ia sebenarnya juga sudah tidak boleh dibuat cucur. Tetapi saya menyebutnya dengan harapan anak-anak berhenti mendesak.
“Abi minta maaf,” saya menghulurkan tangan meminta kemaafan.
“Lain kali jangan buat lagi ya!” kata Naurah.
“Baik puan,” saya mengangguk.
Di dalam rumah kami semua orang bebas menegur dan semua orang harus belajar menerima teguran. Ibu bapa menegur anak-anak, mereka juga berhak menegur ibu bapa. Itulah etika politik dan kepimpinan rumah Abu Saif, dalam subjek ‘mendidik anak berpolitik’.
Apa yang penting ialah kesedaran tentang politik itu juga memberi ibrah, andaikata pisang sudah busuk, janganlah berjanji untuk menghidangkan apa-apa yang manis dan baik untuk disantap. Moga politik Malaysia tidak terus dilamun impian menjamah cucur manis dari pisang yang sudah buruk setandan itu.

RUJUKAN :
http://saifulislam.com/?p=5062

16 October 2011

Jo Yee :)


Seorang gadis berumur 18 tahun (2011) dari etnik Cina di Malaysia berkongsi pengalaman berkenaan dorongan-dorongan yang membawa beliau memeluk agama Islam dan cita-cita untuk berdakwah kepada remaja-remaja sebaya dengan cara yang sesuai dengan mereka.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...