12 January 2011

Virus Dosa

Bismillahirrahmanirahim

Dosa Itu Meresahkan Jiwa Kerana Orang yang Berdosa 
Bukan Sahaja Menentang Ilahi Tetapi Menentang Hati Nuraninya Sendiri

Dosa dalam bahasa Arab disebut dengan pelbagai istilah. Ada yang disebut ismun ertinya dosa. Adakalanya disebut khatiah ertinya dosa-dosa yang besar. Manakala ada pula yang disebut zanbun, yakni dosa yang diiringi taubat.

Apa pun istilahnya dosa tetap berbahaya. Ia adalah racun pembunuh dan pemusnah. Jika racun biasa membunuh lahiriah manusia, racun dosa akan membunuh jiwa manusia.

Dari segi bahasa, kata dosa itu menyiratkan akibat atau balasan. Daripada 17 dosa yang difahami dalam al-Quran, hanya empat saja disebut sebagai contoh :
  • Dzanb bererti akibat kesalahan kita
  • Itsm bererti kealpaan atau tidak mendapat pahala
  • Sayyi'ah ertinya perbuatan buruk yang menyebabkan kesedihan
  • Rijs bererti kotor, baik jasmani mahupun rohani
Jadi, dosa apa-apa pun akan memberi akibat buruk pada kehidupan kita.

VIRUS DOSA

Hati orang mukmin adalah hati yang sihat dan ceria. Manakala hati orang yang fasik (berdosa) ialah hati yang sakit dan resah. Dosa pasti akan mengundang gelisah dalam jiwa. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

"Dosa ialah apa yang menimbulkan resah di hati kamu dan kamu benci jika ia dilihat orang." (Riwayat Muslim)

Poin pada hadis ini ialah dosa menyebabkan kita resah dan kita tak suka kalau orang lain nampak dosa yang kita lakukan.

Dosa ialah virus yang menyebabkan hati sakit. Hati yang sakit mudah dikuasai oleh hawa nafsu yang ditunggangi syaitan. Apabila raja (hati) dalam kerajaan diri sakit, ia akan turun takhta, dan naiklah penjahat(nafsu) sebagai penguasa baru yang akan sentiasa mengajak diri kepada kejahatan.

Firman Allah :

Maksudnya : Dan aku tidak (menyatakan) diriku bebas (dari kesalahan), kerana sesungguhnya nafsu itu selalu mendorong kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhan-ku. Sesungguhnya Tuhan-ku Maha Pengampun, Maha Penyayang.

Seumpama penyakit lahiriah yang ada virus atau bakteria yang menjadi penyebabnya, samalah juga penyakit hati. Virus penyakit hati adalah dosa. Virus ini tidak akan menyerang secara mendadak, tapi secara perlahan-lahan dan berperingkat-peringkat.

Ada empat tahap virus dosa merosakkan hati manusia.


TAHAP-TAHAP VIRUS DOSA :


[1] RASA BERSALAH DENGAN DOSA (GUILTY)
Apabila pertama kali terbuat dosa, hati akan diburu rasa bersalah. Jiwa jadi resah kerna diri menentang fitrah. Fitrah semula jadi manusia adalah baik (sewaktu di alam roh dan mula-mula dilahirkan ke muka bumi). Jadi, apabila fitrah dikotori, manusia seolah-olah menentang hati kecilnya sendiri.

Pakar psikologi juga mengakui bahawa setiap kali melakukan kesalahan atau dosa, manusia diserang oleh rasa guilty conscience - rasa bersalah. Kesalnya bukan main. Sesalnya sungguh merimaskan. Rasa bersalah itu memang menyeksakan kerna ketika itu manusia bukan sahaja menentang Allah tapi menentang dirinya sendiri.


[2] RASA BIASA DENGAN DOSA
Namun rasa berdosa itu tidak lama. Jika dosa yang sama dibuat kali kedua, ketiga dan seterusnya, rasa bersalah itu akan hilang, sedikit demi sedikit. Akhirnya, hati itu telah terbiasa dengan dosa. Jika dulu ada air mata yang mengalir kerana kekesalan dan penyesalan tetapi di tahap kedua ini, tiada air mata lagi. Alah bisa tegal biasa. Hati telah rela untuk berdosa dan terus berdosa.


[3] RASA SERONOK DENGAN DOSA
Dosa itu disalut dengan kemanisan dan keindahan. Dosa yang dilazimkan tidak akan terhenti kesannya pada hati. Dari tahap terbiasa dengan dosa, penyakit hati akan meningkat setahap lagi. Tibalah hati pada tahap ketiga, yakni seronok dan indah dengan dosa.

Pada tahap ini, diri sentiasa mengintai peluang dan ruang untuk melakukan dosa. Rasa ketagih dengan maksiat dan gian dengan kemungkaran terus menghantui hati.

" Racun dosa bertukar menjadi nikmat. Tiada lagi rasa bersalah. Bisa dosa yang terbiasa ini menjelma menjadi fatamorgana nikmat yang berkubu kukuh di dalam hati. "


[4] JADI PEMBELA KEPADA DOSA
Nafsu tidak pernah puas. Kehendaknya tiada terbatas. Di tahap yang kronik ini, dosa akan dipromosi dan dihiasi oleh si toxic people sebagai sesuatu yang indah, seronok dan menguntungkan. Apabila ada pembela agama yang bercakap tentang akhirat dan kiamat, pejuang dosa itu bangun menentangnya. Awas, hati yang sakit lama-kelamaan akan menjadi buta.
Allah berfirman :
Maksudnya :  Dan sebaliknya sesiapa yang berada di dunia ini dalam keadaan buta mata hatinya, maka ia juga buta di akhirat dan lebih sesat lagi jalannya.
(Surah al-Isra' 17:72)

Dosa bisa membunuh jiwa secara cepat dan perlahan. Dosa besar boleh diumpakan racun yang membunuh jiwa secara mendadak. Manakala dosa-dosa kecil akan membunuh jiwa secara perlahan-lahan. Walaupun dosa yang dilakukan itu kecil, ia akan menjadi titik-titik hitam pada hati. Lama-kelamaanya akan terhasillah tompok yang lebih besar. Kemudian hati akan diselubungi dosa hingga menjadi gelap. Apabila sampai tahap kronik, Allah akan menutup penglihatan dan pendengaran kita.

Ketika itulah, segala nasihat, tazkirah atau apa-apa amaran pun tidak akan berkesan lagi. Pintu hati tika itu telah tertutup serapat-rapatnya daripada kebenaran. Oleh kerana itu, berhati-hatilah, jangan bermain-main dengan dosa, sekalipun dengan dosa yang dianggap kecil. Na'udzubillah men dzalik.

Andai kita melakukan dosa, segeralah bertaubat dengan sebenar-benar taubat dan kembalilah kepada Allah yang Esa.

Intihanya, muhasabahlah diri kita kembali. Setiap manusia pernah melakukan kesilapan dan dosa. Jangan biarkan hati kita dipenuhi dengan unsur-unsur yang boleh melalaikan jiwa kita daripada mengingati Allah Ta'ala kerana hati adalah raja bagi kerajaan dalam diri kita.
Wallahu'alam.

sumber rujukan : ustaz pahrol - buku mukmin profesional

cahaya hati by opick. sebuah nasyid yang menyentuh jiwa.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...